Nasihat Luqman Al-Hakim
25 NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM
Dengan apa yang telah diterangkan oleh AL-Quran
berhubung dengan Luqman Al-Hakim para ulamak telah memperincikan lagi
perbicaraan Luqman dengan anak-anaknya. menerusi satu riwayat dalam kitab
Tafsir Ruhul Ma'ani dan Kitab Hidayatul Mustarsyidin bahawa Luqman telah
memberikan anaknya dua puluh lima wasiat iaitu :
1. Hai anakku,
sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam dan banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam,
layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan
layarnya ialah tawakkal kepada Allah.
2. Orang-orang yang
sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, yakin dirinya akan
mendapat penjagaan daripada Allah S.W.T. Orang yang insaf dari kesalahan
setelah menerima nasihat daripada orang lain, dia akan sentiasa menerima
kemuliaan dari Allah S.W.T. jua.
3. Hai anakku! Orang yang merasa dirinya lebih rendah di
dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawadhuk
kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan
dirinya daripada melakukan maksiat.
4. Hai anakku! Seandainya orang tuamu memarahimu, maka
marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-tanaman yang kering kontang.
5. Jauhilah dirimu
dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina
di waktu siang dan hina di waktu malam.
6. Dan selalulah
berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan kamu menderhaka. Takutlah kepada Allah dengan benar-benar
takut, tentulah engkau akan terlepas dari sifat putus asa dari rahmat Allah
S.W.T.
7. Hai anakku!
Seseorang pendusta itu akan lepas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai
orang, dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan dan
mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. Ketahuilah bahwa memindahkan
batu besar yang berat dari tempat asalnya adalah lebih mudah daripada memberi
pengertian kepada orang-orang yang tidak mahu mengerti.
8. Hai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya
mengangkat batu yang besar dan besi yang amat berat, tetapi adalah lebih berat
daripada itu semua apabila engkau mempunyai jiran tetangga yang jahat.
9. Hai anakku! Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan
utusan melalui orang bodoh dan jahat.
Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, sebaiknya engkau sendiri
sajalah yang menjadi utusan.
10. Jauhilah
sejauh-jauhnya sifat berdusta, sebab berdusta itu ketika sekali mengerjakannya
bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta yang
dilakukan akibatnya dan bahayanya amat besar.
11. Hai anakku! Bila engkau menghadapi dua pilihan,
menziarahi orang mati atau menghadiri mailis perkahwinan, maka hendaklah engkau
memilih menziarahi orang mati. Sebab
menziarahi orang mati itu akan mengingatkan kamu kepada akhirat, sedangkan
menghadiri majlis perkahwinan itu hanyalah akan mengingatkan kamu kesenangan
duniawi sahaja.
12. Janganlah engkau
makan atau minum yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu
kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu, dan alangkah baiknya makanan
yang lebih itu diberikan kepada anjing sahaja.
13. Hai anakku! Janganlah engkau menelan terus sesuatu
makanan kerana manisnya, dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang
kerana pahitnya. Kerana manis itu belum
tentu mendatangkan kesegaran dan belum tentu yang pahit itu mendatangkan
musibah.
14. Makanlah makananmu
bersama-sama orang yang takwa, dan musyawarah segala urusanmu dengan para alim
ulama dengan cara memohon nasihat daripadanya.
15. Hai anakku! Bukanlah suatu kebaikan namanya apabila
engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang yang
mencari kayu api, setelah banyak terkumpul maka dia tidak mampu memikulnya
padahal dia masih terus mengumpulkannya.
16. Hai anakku! Apabila engkau ingin mencari teman sejati,
maka ujilah terlebih dulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannya. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih
berusaha untuk menginsafkan engkau, maka bolehlah engkau ambil sebagai kawan,
dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.
17. Perbaikkanlah
tutur katamu, halus budi bahasamu dan manis wajahmu, kerana engkau akan disukai
orang yang melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah memberikan barang
yang berharga kepadanya.
18. Hai anakku! Apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu
orang yang tidak pernah mengharapkan daripadanya. Namun biarlah dia
mengharapkan sesuatu daripadamu.
19. Jagalah dirimu
dalam setiap perkara sebagai seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau
sanjungan dari orang lain, kerana penguasaannya itu akan menyebabkan diri kamu
beroleh.
20. Hai anakku!
Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar
kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu akan
mendatangkan manfaat kepada orang lain.
21. Hai anakku! Janganlah engkau cenderung kepada dunia
semata-mata dan hatimu jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata,
kerana engkau diciptakan Allah bukannya untuk urusan dunia sahaja. Tidak ada orang yang lebih hina melainkan
orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.
22. Hai anakku! Janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau
bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan pasti,
janganlah engkau menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan
janganlah engkau mensia-siakan harta dunia kamu.
23. Barangsiapa yang
penyayang, sudah tentu akan disayang, siapa yang suka berdiam diri sudah tentu
akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara yang mengandungi racun, dan
barangsiapa yang tidak mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah
tentu akan menyesal.
24. Hai anakku! Bergaul mesralah dengan orang alim dan
berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk
hati kamu mendengar nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.
25. Hai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhirat.
Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul sampah, kelak diri kamu akan
menjadi pengemis yang membebankan orang lain.
Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis kerana
sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Jangan
engkau bertemankan orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan
aniayakan diri kamu.
Wallahu'alam
From : Kader Ibrahim <kader@mailsvr.boc.com.my>
Dipetik dari majalah : We Care, 1997
Komentar
Posting Komentar